Thursday, 5 December 2013

Tugasan 2 = Penulisan Isu Pembentangan

PENGHARGAAN 

Pertama sekali, kami ingin melahirkan syukur ke hadrat Allah di atas segala petunjuk dan hidayah-Nya. Alhamdulillah, Tugasan ini telah berjaya disiapkan dengan ilham, kurnia dan petunjuk dariNYA. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi besar kita Muhammad s.a.w dan kepada ahli keluarganya, seterusnya kepada para sahabat baginda dan para tabi'n, para alim ulama sehinggalah kepada sekelian hamba-hamba Allah yang mengikuti jejak langkah mereka. Seinfiniti perhargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada


DR MAZLINI BT ADNAN 

selaku pensyarah isu-isu kontemporari dalam pendidikan Matematik kami yang terlalu banyak membantu, membimbing dan juga sebagai pemudahcara kami sepanjang proses menyiapkan tugasan ini. Tanpa tunjuk ajar yang begitu jitu dan padu daripada beliau, mana mungkin kami akan dapat menghasilkan satu tugasan yang baik. Jutaan penghargaan juga diucapkan kepada semua pelajar Sarjana Matematik yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam pembikinan tugasan ini. Tidak lupa juga untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberi sokongan dan dorongan disamping idea-idea yang bernas pada masa kami ketandusan idea dan juga mana-mana nama lagi yang mungkin terlibat. 

Terima kasih sekalung budi.  Sekian. Wassalam.

Isi Kandungan

Bil.                            Tajuk                                                                               Muka Surat
1.                     PENGHARGAAN                                                                              i
2.                     1.0 Tajuk                                                                                          1
3.                     2.0 Pengenalan                                                                                1 - 3
4.                     3.0 Keperluan Transformasi ICT                                                       3 - 8
                        3.1 Transformasi ICT Dalam PdP
                        3.2 Transformasi ICT Dalam PdP Matematik
5.                     4.0 Masalah-Masalah Yang Timbul/Wujud                                        9 - 12
                             Dari Penggunaan Komputer Di Dalam Pendidikan
6.                     5.0 Cara Mengatasi Dan Kesimpulan                                               12 - 14
7.                     6.0 Rujukan                                                                                  14 - 15

1.0 Tajuk

Transformasi ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Matematik 

2.0 Pengenalan 

   Pendidikan merupakan proses dan aktiviti yang bertujuan membawa perubahan kepada seseorang individu mengikut norma dan nilai sesuatu masyarakat. Guru bertangggungjawab dalam memberi pendidikan dan menghasilkan perubahan tingkah laku kepada pelajarnya dalam mencapai Falsafah Pendidikan Negara. Oleh yang demikian, sewajarnya transformasi Information Communication Technology (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) pendidikan Matematik merupakan satu proses pendidikan yang sentiasa berubah mengikut arus teknologi terkini. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menekankan bahawa penyaluran maklumat yang lebih berkesan khususnya dalam bidang Sains dan Matematik seharusnya menggunakan peralatan terkini iaitu penggunaan teknologi maklumat. 

   Sebelum era ICT Kaedah pengajaran dan pembelajaran hanya menggunakan papan hitam dan kapur. Kini pelbagai bahan bantu mengajar berasaskan ICT diwujudkan seperti komputer, bahan elektronik, skrin LCD, kamera video digital dan lain-lain dalam bilik darjah. Dalam era digital ini, komputer digunakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah. Di negara kita pengetahuan dan penggunaan komputer di sekolah semakin berkembang. Guru dan pelajar digalakkan untuk melayari sebagai sumber tambahan untuk mendapatkan maklumat untuk tujuan PdP. Tiga dasar utama ICT dalam pendidikan adalah literasi ICT untuk semua pelajar, mengutamakan peranan dan fungsi ICT sebagai kurikulum dan alat PdP dalam penggunaan ICT untuk meningkatkan produktiviti .

   Mengikut teori pembelajaran koperatif, kajian oleh Christle menyatakan: “ Penggunaan mel elektronik dan penerokaan maklumat di kalangan para pelajar sekolah, bukan sahaja dapat memberi semangat belajar secara kumpulan (cooperative learning), pelajar juga semakin mesra dengan alat teknologi ini dan sentiasa berusaha untuk meneroka alam baru ini” - Chistle(1996) - Selain daripada itu, para pelajar semakin mesra dengan alat teknologi ini dan sentiasa berusaha untuk meneroka alam yang baru ditemui ini. Nolan dan Martin (1994) menyatakan bahawa: “ pembelajaran dan suasana baru seperti menggunakan internet di sekolah telah membawa banyak perubahan kepada pelajar. Pelajar didapati lebih mahir membuat perubahan kepada pelajar. Pelajar didapati lebih mahir membuat kajian dan lebih berfikiran secara kritikal” - Nolan dan Martin (1994) - Keupayaan penggunaan (ICT) secara berkesan kini semakin penting sebagai prasyarat maklumat dalam setiap aktiviti manusia. Pengetahuan dan kemahiran ICT sudah disepadukan dalam kurikulum.

   Kurikulum sekolah sudah menuntut betapa pentingnya penguasaan dan kemahiran literasi ICT terutama kepada semua pelajar sekolah. Holmes(1999), menyatakan bahawa integrasi teknologi ICT dalam PdP memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel serta mengikut perkembangan ICT semasa. Sejajar dengan itu, projek inisiatif KPM yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications telah diperkenalkan. Projek ini juga dikenali sebagai 1BESTARINET yang mana setiap warga pendidik mempunyai satu akaun Frog VLE (Virtual Lerning Education). Melalui projek ini sebanyak 10,000 sekolah di seluruh Malaysia akan dilengkapi dengan akses internet berkelajuan tinggi, ‘chromebook’ dan kemudahan ‘Doggle YES’. Frog VLE dapat membantu guru-guru mengaplikasikan pembelajaran maya dengan lebih berkesan. Guru-guru boleh memuat turun nota, latihan, tips-tips menjawab peperiksaan dan nasihat melalui blog masing-masing yang juga boleh diakses oleh setiap pelajar walau dimana mereka berada. 

3.0 Keperluan Transformasi ICT

   Dalam usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia berstatus negara maju pada tahun 2020, teknologi maklumat (IT) telah dijadikan satu teras yang perlu dikuasai oleh semua lapisan masyarakat. Salah satu terminologi IT yang popular pada hari ini ialah Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) atau TMK . ICT ialah satu inovasi dalam kehidupan masyarakat Malaysia hari ini. Globalisasi telah membawa perubahan dalam budaya, sosial dan Globalisasi ialah satu ideologi perubahan budaya, sosial,dan politik yang dicetuskan oleh kemajuan pesat teknologi Komunikasi Maklumat (ICT). Globalisasi telah menyebabkan wujudnya konsep dunia tanpa sempadan, konsep liberalisasi maklumat, konsep pembelajaran global dan konsep perubahan tingkah laku (Nesbit & Adesope 2006). 

   Justeru, ICT telah memberi kesan yang besar ke atas anjakan perubahan sistem pengurusan pendidikan di negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ( PPPM ) 2013 – 2025, Anjakan 7: 

  Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. ICT akan memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di semua 10,000 buah sekolah. Murid akan memperoleh akses kandungan yang lebih luas, menarik dan interaktif. Mereka akan dapat belajar mengikut kadar sendiri dan mempunyai pilihan yang lebih luas melalui program jarak jauh. Oleh itu dalam kaedah pendidikan bersepadu, Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama YTL Communication menyediakan Internet 4G tanpa wayar berkelajuan tinggi beserta Frog Virtual Learning Environment ( Frog VLE ) yang efektif ke semua sekolah seluruh Malaysia. 

3.1 Transformasi ICT Dalam PdP

Maksud transformasi ICT dalam pdp ialah penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Transformasi ICT dalam pdp dilihat dari dua aspek iaitu aspek pengajaran yang bermaksud guru menggunakan ICT dan aspek pembelajaran bermaksud murid menggunakan ICT. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2001), manfaat yang diperolehi daripada ICT dalam pembelajaran adalah seperti berikut:

(a) guru berupaya meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran; 
(b) maklumat pelajar yang terdiri daripada pelbagai keupayaan dapat diberikan dengan peluang              pembelajaran yang sama;
(c) motivasi murid-murid dapat ditingkatkan lagi;
(d) penggunaan ICT dalam pembelajaran dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang                      menyeronokkan dan mencabar; 
(e) daya kreativiti dan imaginasi murid dapat dipertingkatkan lagi; 
(f) murid-murid dapat belajar secara berkesan dengan bimbingan yang minimum; dan 
(g) kemahiran ICT murid-murid dapat dipertingkatkan lagi. 

3.2 Transformasi ICT Dalam PdP Matematik 

   Mengikut pengarang buku “Reshaping Schools Mathematics: A Philosophy Framework For Curriculum” (National Research Council, 1990) telah membincangkan kepentingan transformasi dalam pendidikan matematik. Antaranya ialah:

• pendidikan Matematik perlukan perubahan kerana kini ia diperlukan oleh semua rakyat dari             pelbagai bidang dan bukannya untuk segelintir masyarakat. Oleh yang demikian, skop dan kualiti     Matematik perlu diperkembangkan lagi dengan idea-idea baru yang canggih, 
• ciri bidang Matematik telah berubah untuk menyediakan rakyat yang celik matematik dalam           bidang teknologi demi menghadapi cabaran alaf baru, 
• perkembangan teknologi telah menyebabkan keperluan kemahiran berfikir dan penyelesaian           masalah yang efektif, 
• pandangan pelajar juga telah berubah di mana kanak-kanak zaman kini ingin belajar dengan lebih     aktif dengan pembinaan idea sendiri serta berkeupayaan menganalisa dan menerokai penyelesaiaan   masalah mereka sendiri, 
 • perubahan dalam persaingan ekonomi antarabangsa juga merupakan suatu aspek yang membawa    kepada perubahan dalam pendidikan matematik pada semua peringkat. 

ICT bukan hanya setakat mempengaruhi bagaimanakah matematik diajar dan dipelajari tetapi juga, mempengaruhi apakah yang patut diajar serta bilakah topik itu diajar. Dengan ICT dalam tangan mereka, kanak-kanak boleh meneroka dan menyelesaikan masalah yang melibatkan nombor-nombor besar, ataupun mereka dapat menyiasat ciri-ciri bagi bentuk-bentuk dengan menggunakan perisian dinamik geometri. Di sekolah rendah, murid-murid boleh mengatur dan menganalisa set data yang besar. Manakala murid-murid di sekolah menengah rendah pula dapat mempelajari perhubungan linear and idea kecerunan serta perubahan seragam dengan perwakilan komputer. Senario di sekolah menengah atas pula, murid-murid dapat menggunakan simulasi untuk mengkaji taburan sampel dan mereka dapat bekerja dengan sistem algebra komputer yang dapat menjalankan kebanyakan manipulasi simbolik dengan cekap.

   Pada hakikatnya, manipulasi simbolik sedemikian telah menjadi tumpuan bagi kurikulum sekolah menengah atas yang tradisional. Oleh itu, pembelajaran algebra tidak lagi perlu dihadkan kepada situasi ringkas dimana manipulasi simbolik adalah mudah secara relatif. Dengan menggunakan alat teknologi, murid-murid dapat menaakul isu-isu yang lebih am dan lebih luas, seperti perubahan parameter. ICT juga telah mengaburkan sempadan-sempadan yang memisahkan topik-topik di dalam algebra, geometri dan analisis data. Kini ICT membenarkan murid-murid menggunakan idea dari satu bidang matematik untuk membantu mereka memahami idea dalam bidang yang lain dengan lebih jelas. ICT dapat menolong guru menghubungkaitkan perkembangan kemahiran dan prosedur kepada pemahaman matematikal yang lebih am. 

   Oleh kerana itu, setengah kemahiran yang pada satu masa dahulu dianggap penting telah dijadikan kurang mustahak peranannya oleh ICT. Akibatnya, murid-murid kini dapat dirangsangkan untuk bekerja pada peringkat matematikal yang lebih tinggi dan abstrak. Belajar dengan menggunakan manipulasi virtual ataupun dengan “Logo” dapat menggalakkan kanak-kanak muda memperluaskan pengalaman fizikal mereka serta memperkembangkan pemahaman awalan mereka tentang idea-idea canggih, seperti menggunakan algoritma. Perisian geometri dinamik dapat menggalakkan kajian ke atas keluarga objek geometrik, dengan fokus yang eksplisit terhadap transformasi geometrik. Sama juga, utiliti melukis graf dapat mempermudahkan kajian dan penerokaan ciri-ciri berbagai kelas fungsi. Disebabkan teknologilah, banyak topik dalam matematik distrik kini telah mengambil peranan yang penting di dalam bilik darjah matematik yang kontemporari. 

   Perubahan yang paling ketara dalam isi kandungan kurikulum matematik serta dalam matlamat proses matematik ialah pengurangan tumpuan kepada aspek kerja komputasi matematikal yang boleh dilaksanakan dengan teknologi; dan disebaliknya meningkatkan penekanan ke atas pemikiran konseptual serta penyelesaian masalah. Isi kandungan dan proses matematik kini dipertingkatkan serta diperluaskan kepada idea-idea dan aplikasi matematik yang lebih kompleks daripada yang dapat diperoleh murid-murid melalui isi kandungan tradisional. Oleh yang demikian, sempadan-sempadan bagi lanskap matematik telah berubah dan bertukar. 

4.0 Masalah-Masalah Yang Timbul/Wujud Dari Penggunaan Komputer 

   Di Dalam Pendidikan Aplikasi komputer dalam bidang pendidikan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu pentadbiran pendidikan, penyelidikan pendidikan dan pengajaran dan pemelajaran. Kebanyakan masalah yang timbul, adalah merangkumi ketiga-tiga aspek ini. Disebabkan masalah-masalah yang timbul di dalam ketiga-tiga bahagian ini hampir sama, ia perlu dibincangkan secara bersepadu.

a) Latihan Ulangan 

Terdapat banyak perisian aplikasi pengautomasian pejabat di pasaran. Terdapat juga berbagai-bagai jenis perisian untuk penyelidikan mahupun untuk pendidikan. Setiap orang perseorangan yang ditugaskan mengendalikan perisian-perisian ini samada guru, kerani, pegawai penyelidik atau lain-lain, perlu menjalani latihan menggunakan perisian tersebut di samping mempelajari cara penggunaan komputer itu sendiri. Masalah akan timbul sekiranya orang perseorangan atau pekerja terbabit berhenti atau ditukarkan ke bahagian lain. Latihan perlu dilakukan semula kepada pengguna pengganti.

b) Kos Yang Tinggi 

Kos mendapatkan peralatan dan perisian komputer masih lagi tinggi walaupun dijangkakan akan menurun. Dengan perkembangan pesat teknologi maklumat, syarikat-syarikat atau orang perseorangan sentiasa mengeluarkan peralatan dan perisian baru yang berharga tinggi. Kerja-kerja penyelidikan selalunya memakan masa yang panjang. Oleh itu kos yang tinggi diperlukan dari segi penyenggaraan sistem, tenaga pekerja, peralatan-peralatan bantuan dan terutamanya sekali perkakasan yang diperlukan. Disebabkan bidang teknologi maklumat dalam pendidikan masih baru dan tinggi permintaannya, maka institusi-institusi pengajian bertindak menaikkan yuran untuk mengikuti kursus-kursus tersebut. Pelajar-pelajar perlu memiliki komputer sendiri untuk mengelakkan persaingan di makmal-makmal komputer institusi pengajian. 

c) Laporan/Maklumat Tidak Tepat

Staf yang ditugaskan mengendalikan perisian atau memasukkan data boleh mengakibatkan laporan yang diproses atau dianalisis oleh perisian tidak tepat. Ianya boleh berlaku umpamanya seperti kerja kemasukan data yang banyak dan berterusan. Kesilapan juga boleh berlaku terhadap hasil penyelidikan sekiranya berlaku kecuaian semasa memasukkan data atau kesilapan dalam pembangunan sistem penyelidikan itu sendiri kerana kompleksnya sesuatu sistem penyelidikan tersebut. Kemunculan virus-virus komputer boleh juga mengakibatkan kesilapan dalam analisis data. 

d) Pergantungan Tinggi Kepada Komputer 

Staf yang biasa atau selalu menggunakan komputer untuk membantu kerja-kerjanya mungkin boleh menyebabkan kerja-kerja tertangguh sekiranya terjadi sesuatu yang di luar jangkaan seperti kerosakan kepada komputer atau tenaga elektrik. Pembelajaran di dalam kelas juga boleh terganggu sekiranya guru hanya bergantung kepada komputer untuk melaksanakan pengajaran. 

e) Kurang Kepakaran 

Kerja-kerja penyelidikan menggunakan komputer memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja pakar dalam bidang penyelidikan tersebut tetapi juga mahir dalam bidang komputer terutamanya sewaktu proses pembangunan sistem penyelidikan.Guru-guru yang pakar mengendalikan komputer juga diperlukan untuk melaksanakan pengajaran menggunakan komputer atau literasi komputer. 

f) Sosialisasi 

Kerja-kerja penyelidikan berkomputer juga boleh menyebabkan staf penyelidikan terlalu taksub terhadap komputer atau tugasnya hingga boleh melalaikan dari bersosial dengan masyarakat luar. Ia juga boleh melenyapkan empati terhadap orang lain kerana terlalu serius dalam tugas. Penggunaan komputer sebagai alat pengajaran juga boleh mengakibatkan interaksi antara guru dan murid berkurang sekiranya guru tidak peka kepada tanggungjawab guru sebenarnya bukan hanya sekadar mengajar tetapi juga mendidik dan membimbing. 

g) "Computer Phobia" 

Disebalik perkembangan pesat dalam pengkomputeran, wujud juga segolongan manusia yang tidak berupaya atau berpeluang mengikuti perkembangan pesat teknologi maklumat. Mereka ini boleh bersikap takutkan komputer atau tidak mahu menggunakan komputer kerana kurang keyakinan mereka terhadap komputer. Di hati mereka boleh juga wujud rasa rendah diri apabila berada di kalangan individu yang celik komputer. 

h) Internet

Internet tidak dimiliki oleh sesiapa. Setiap pengguna Internet bebas memasukkan apa-apa maklumat yang ingin mereka sampaikan kepada pengguna lain. Oleh itu adalah sukar bagi pihak pendidikan untuk menapis kandungan-kandungan yang baik dan elok sahaja untuk pelajar-pelajar. 

5.0 Cara Mengatasi Dan Kesimpulan 

   Isu dan cabaran dalam pendidikan matematik yang semakin kompleks memperlihatkan betapa pentingnya untuk semua pihak memahami ekpektasi semasa dalam sistem pendidikan Negara. Kita mahu menyediakan generasi yang mempunyai kemampuan untuk mengorak langkah dalam arus pemodenan Negara. Matlamat ini dapat dicapai sekiranya semua pihak mengambil pendekatan yang realistik dan pragmatis dalam menyelesaikan masalah – masalah yang dihadapi dalam pendidikan matematik. Dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran matematik, guru perlu bijak memilih teknologi yang sesuai. pemilihan bergantung kepada topik yang diajar, latar belakang dan kesediaan pelajar serta infrastuktur sekolah. Guru perlu mengintegrasikan teknologi secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran. 

   Penggunaan teknologi perlu melibatkan pelajar belajar secara bermakna. Pengintegrasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran akan berlaku secara berkesan dalam kelas yang berpusatkan pelajar di mana guru berperanan sebagai fasilitator. Guru perlu utamakan pedagogi bukan teknologi. Sesetengah sekolah masih lagi tiada akses kepada internet dan juga kemudahan seperti lcd,laptop dan juga kelas yang tidak sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi. Pihak berwajib perlu menyediakan kemudahan terlebih lengkap terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu transformasi dalam pendidikan. Selain itu, guru-guru perlu diberi latihan serta kursus yang bersesuaian dengan kehendak teknologi masa kini. Jika dilihat rata-rata guru masih lagi tidak dapat menguasai internet dan tidak dapat diaplikasikan di dalam kelas. 

   Latihan yang perlu diberi adalah seperti membina soalan, analisis item, perisian-perisian matapelajaran, sosial networking dan juga laman-laman web yang bersesuaian. Sebaiknya, jika ingin melihat para pelajar celik IT terutamanya di kawasan pendalaman, subjek ICT perlu diwajibkan kepada pelajar menengah rendah dan juga menengah atas. Ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kefahaman pelajar terhadap penggunaan teknologi yang sentiasa berubah mengikut arus semasa. Kewujudan teknologi dalam pendidikan matematik bukan sahaja mengubah corak dan cara guru mengajar matematik tetapi turut mengubah kandungan matematik yang dipelajari oleh murid. Matlamat pendidikan matematik adalah untuk melahirkan warga yang bukan sahaja berupaya untuk mengaplikasikan apa yang mereka telah pelajari dalam situasi dunia sebenar tetapi juga berupaya menyelesaikan masalah yang belum pernah mereka temui. 

   Mengenai pemilihan bahasa yang tepat dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik perlu pertimbangkan hujah – hujah seperti penguasaan Bahasa Inggeris tidak boleh ditingkatkan melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik melalui Bahasa Inggeris. Penguasaan Bahasa Inggeris hanya akan ditingkatkan dengan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Ini bermakna guru guru BI perlu dilatih dengan lebih baik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran BI perlu dikaji dan ditingkatkan termasuk buku teks dan ‘teaching aids’ yang dibekalkan kepada guru guru. Sains dan Matematik diajar supaya pelajar memahami sains dan matematik, bukan untuk mereka meningkatkan penguasaan mereka terhadap BI. 

   Sekiranya matlamat pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik diselewengkan sedemikian rupa, akhirnya matlamat sebenar akan keciciran dan kedua dua matlamat tidak kesampaian. Dalam perihal memberi kefahaman terhadap persoalan-persoalan kompleks yang terkandung di dalam mata pelajaran sains dan matematik, penggunaan bahasa asing, seperti BI akan hanya menyulitkan pelajar. Lebih - lebih lagi apabila diakui bahawa penguasaan BI adalah lemah.

6.0 Rujukan

•V.Pang, Y.K Yap dan Y.M Tan, (1992). Buku Sumber Komputer Dalam Pendidikan. Kuala           Lumpur : Siri Pendidikan Longman Dewan Budaya, Ruang Siber dan Cabarannya , Edisi Julai,       1996 
•Tinta Nilam, (2010). Kepentingan Teknologi Dalam Pendidikan. File:///C?Users/ user/                  Download/TINTA NILAM Kepentingan Teknologi Dalam Pendidikan.htm(1 Mei 2010)
•Zul Helmi, (2012). Esei Kumpulan (Integrasi ICT Dalam Pengajaran & Pembelajaran : Perubahan  Peranan Guru. File:///C:Users/ user/ Downloads/Zul Helmi
•Queenie, (2010). Teknologi Didalam Bidang Pendidikan.                        http://cmq123.blogspot.com/2010/04/teknologi-di-dalam-bidang- pendidikan.html 
•Ting, Woo, (2005). Penggunaan ICT Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Kalangan    Guru Sekolah Menengah Teknik Dan Vokasional: Sikap Guru, Peranan ICT Dan Kekangan /    Cabaran Penggunaan ICT.

2 comments:

  1. i need this notes but I couldn't copy plz sent me sof copy sister..... im a school teacher... I need it sister plz help me

    ReplyDelete
  2. plz sent me soft copy sis

    ReplyDelete