Disediakan Oleh: Mahirah Binti Supi
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
DASAR DAN PELAKSANAAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
oleh
Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif
Universiti Tun Abdul Razak
(UNITAR)
dan
Hasnan Hakim
Penolong Pengurus
Hal Ehwal Koporat
Universiti Tun Abdul Razak
(UNITAR)
PENDAHULUAN
Antara perkara yang paling penting perlu wujud bagi mana-mana sistem pendidikan kebangsaan ialah dasar pendidikan itu sendiri. Ia bukan sahaja menjadi asas pembentukan sistem pendidikan bahkan menjadi yang amat penting dalam melaksanakan sistem tadi. Tanpa dasar yang jelas, sudah tentulah sistem dan pelaksanaannya tidak akan tersusun rapi, terumbang ambing dan tidak tentu arah. Kemungkinan juga pelaksanaan sistem akan mengikut suatu arah pada satu ketika dan kemudiannya mungkin juga bertukar haluan pada lain masa. Kadangkala perubahan haluan atau arah ini boleh berlaku kerana faktor kepimpinan, kewangan, pengaruh politik dan lain-lain.
Dasar bagi sesuatu sistem pendidikan haruslah berpaksikan kepada falsafah yang jelas. Biasanya falsafah inilah menjadi teras pendidikan kita. Ia mengandungi matlamat, corak dan kaedah pendidikan secara kasar, ciri-ciri yang hendak dibentuk dalam diri individu yang hendak menerima pendidikan tadi serta skop yang dirangkumi oleh proses pendidikan itu sendiri. Sebagai perbandingan, negara Amerika Syarikat misalnya tidak memiliki satu falsafah pendidikan yang digubal di peringkat negara walau pun sistem pendidikannya adalah antara yang terbaik di dunia. Howard D. Mehlinger (1995) dalam bukunya School Reform in the Information Age mengenalpasti masalah ketiadaan falsafah dan dasar memberi dua bentuk kesukaran. Pertama, pendidikan guru dan kedua, pembaharuan pendidikan. Kesukaran yang kedua iaitu pembaharuan pendidikan adalah antara isu yang amat menyeluruh kerana ianya meliputi isu-isu kurikulum, sistem pendidikan dan kemajuannya daripada satu tahap kepada tahap yang lain.
PENGGUBALAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA SERTA STRATEGI PELAKSANAANNYA
Dari sudut sejarah, falsafah pendidikan negara lahir daripada proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan bangsa dan negara Malaysia semenjak merdeka lagi. Umum mengetahui bahawa falsafah
pendidikan negara yang dirumuskan pada tahun 1988 dan disebut dalam Akta Pendidikan 1996 berbunyi:
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat dan negara.
Ingin saya ulangi di sini bahawa falsafah pendidikan negara ini mengambil inspirasi daripada proses pembangunan bangsa dan negara yang agak panjang. Apa yang digariskan dalam falsafah ini juga amat
berkait rapat dengan perkembangan dunia Islam dan pembangunan negara Malaysia. Perbandingan falsafah ini dengan resolusi atau konsensus sedunia Persidangan Dunia mengenai Pendidikan Muslim Pertama yang
diadakan di Jeddah, dari 31 Mac hingga 8 April 1977 tidak jauh berbeza. Saya berikan di sini petikan ulasan Mohd Kamal Hassan (1988) dalam bukunya Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu.
Menurut beliau, pengisytiharan Makkah mengenai matlamat pendidikan adalah meliputi “perkembangan yang seimbang dalam keseluruhan peribadi insan melalui latihan rohaniahnya, intelek, rasional, perasaan dan indera.” Sumber kepada pendidikan berkenaan adalah sumber wahyu dan akal sebagaimana yang diutarakan dalam konsensus Persidangan tersebut. Faktor keseimbangan dan kesepaduan dalam resolusi ini dapat dimanifestasikan dalam falsafah pendidikan negara yang dirumuskan 11 tahun kemudian.
Sejarah pendidikan kita juga memainkan peranan dalam membentuk falsafah berkenaan. Dalam Akta Pelajaran 1961 yang dilaksanakan berdasarkan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 ada
dinyatakan permulaan kepada falsafah pendidikan negara. Walaupun begitu, ianya tidak luas dan hanya sesuai dengan zaman pembangunan negara kita pada tahun-tahun 1970an dan 80an. Dasar Pelajaran Kebangsaan lebih menjurus kepada usaha kerajaan menyatupadukan semua kaum:
Tujuan Dasar Pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.
Penyata Razak 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Laporan Rahman Talib 1960 dan Akta Pendidikan 1961 yang memungkinkan lahirnya Dasar Pelajaran Kebangsaan ini boleh dirumuskan sebagai milestone kepada
zaman pengukuhan dan kemaskini dalam sistem pendidikan negara kita.
Dasar Pelajaran Kebangsaan ini mula diolah kembali bagi menyesuaikan negara kita dengan perkembangan zaman. Laporan Kabinet 1979 adalah permulaan kepada pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih jelas. Sebahagian ciri-ciri Laporan Kabinet 1979 lebih banyak menumpukan kepada penegasan kepada pendidikan asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), pendidikan kerohanian dan kurikulum ala
Malaysia. Zaman pensejagatan atau globalisasi merupakan satu cabaran baru bagi sistem pendidikan kita. Lahirnya Akta Pendidikan 1996 adalah satu sahutan kepada cabaran berkenaan. Buat pertama kalinya, kita melihat berbagai pengukuhan dan penegasan dilakukan oleh pihak kerajaan termasuklah teras kepada sistem pendidikan iaitu falsafah pendidikan negara. Pendidikan bertaraf dunia atau Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dijadikan objektif sistem pendidikan masa kini sebagaimana maksud beberapa akta pendidikan yang lain. Buat pertama kalinya, kita melihat bukan isu perpaduan sahaja sebagai isu utama yang perlu diselesaikan akan tetapi isu yang lebih global seperti keperluan guna tenaga dan keterampilan ilmu yang sesuai dalam zaman. Apatah lagi, zaman ini dikenali sebagai permulaan gelombang maklumat dan pengetahuan.
Buat pertama kalinya juga, pendidikan swasta sebagai rakan penyumbang dan ahli dalam sistem pendidikan kebangsaan diberikan perhatian yang sewajarnya. Era pra-1996, institusi pendidikan swasta boleh dianggap marginal dan tidak diiktiraf. Dalam zaman pengukuhan dan kemaskini, sistem pendidikan kebangsaan hanya merangkumi institusi pendidikan yang ditubuh dan diurus oleh pihak kerajaan termasuk institusi pendidikan vernakular. Dalam zaman pensejagatan ini, sistem pendidikan kita merangkumi pendidikan pra-sekolah sehingga ke pendidikan tinggi awam dan swasta. Barangkali, inilah yang dikatakan pendekatan perpaduan yang lebih relevan iaitu dengan merangkum semua bentuk dan peringkat institusi pendidikan dalam negara untuk dikawalselia secara lebih menyeluruh dan bersepadu. Berikut disenaraikan beberapa perkara penting yang terlaksana dalam Akta Pendidikan 1996:
a. Landasan dan wawasan pendidikan adalah berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Negara,
b. Sistem Pendidikan Kebangsaan didefinisikan secara jelas yang meliputi semua peringkat termasuk pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pendidikan pascamenengah dan pendidikan tinggi,
c. Pengukuhan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan,
d. Pendidikan swasta dikawalselia melalui akta lain,
e. Kurikulum kebangsaan diperuntukan,
f. Peruntukan peperiksaan awam yang perlu dipatuhi,
g. Bahasa kebangsaan sebagai matapelajaran wajib,
h. Peruntukan bahasa Cina, Tamil dan bahasa Orang Asli,
i. Tempoh pendidikan rendah antara 5 hingga 7 tahun,
j. Pendidikan lepas menengah,
k. Pendidikan teknik dan politeknik dipertingkatkan,
l. Peruntukan pendidikan khas,
m. Maktab-maktab pergururan,
n. Pengajaran Agama Islam dan moral,
SEPINTAS LALU MENGENAI PELAKSANAAN SISTEM PENDIDIKAN
KEBANGSAAN
Sistem pendidikan kebangsaan mengandungi beberapa unsur penting
yang antara lain, terdiri daripada:
• peringkat pendidikan dari yang paling bawah ke tahap yang paling tinggi;
• jumlah tempoh pengajian bagi setiap peringkat;
• kurikulum bagi setiap peringkat dan jurusan;
• sistem penilaian dan jenis sijil atau kelulusan yang dikeluarkan;
• sistem pentadbiran, kewangan, pemantauan dan pengawalan; dan
• latihan dan skim perguruan
Sekiranya dilihat dari segi sistem yang telah disedia dan dilaksanakan selama ini, terdapat usaha yang gigih untuk memperbaikinya dari semasa ke masa. Sekiranya ditinjau secara halus dari segi hasil dasar dan sistem pendidikan kebangsaan, seharusnya ia mampu mengeluarkan pelajar yang berilmu, bermoral (akhlaq), beradab dan bersopan, seorang individu yang boleh menjadi warga negara yang cukup baik.
Namun terdapat berbagai masalah moral, disiplin dan kelemahan akademik di kalangan sebilangan besar pelajar Melayu, terutamanya dari luar bandar. Untuk menjelaskannya, biarlah saya perincikan satu persatu.
Masalah Moral
Kita ketahui bahawa falsafah pendidikan negara terkini yang telah digubal pada akhir tahun lapan puluhan mementingkan pembangunan individu secara bersepadu yang merangkumi pembangunan mental, rohani, fizikal dan psikologi. Namun kita masih lagi mendapati gejala sosial semakin merebak terutama di kalangan remaja Melayu dalam bentuk penyalahgunaan dadah, seks tanpa perkahwinan, rogol, pembunuhan, lepak, bosia dll. Antara faktor yang boleh membendung gejala sosial yang amat ngeri dan negatif adalah memperkukuhkan akhlaq dan budi pekerti yang mulia, seperti yang dituntut oleh Islam. Akhlaq pula adalah sesuatu yang bukan boleh ditunjuk ajar semata tetapi memerlukan contoh dan teladan yang baik serta bimbingan yang berterusan dari rumah hingga ke sekolah dan seterusnya ke masyarakat umum. Namun peranan sekolah di sini ialah dalam melaksanakan pendidikan moral dan pendidikan Islam. Selain dari itu, peranan ibu bapa dan penjaga juga amat penting kerana apa yang diajar di sekolah seharusnya sama seperti apa yang dilihat di rumah. Maka peranan ibu bapa juga amat penting dalam membangunkan sahsiah individu dalam masyarakat. Satu lagi masalah yang agak besar ialah teladan yang didapati dari masyarakat sama ada melalui media massa mahu pun melalui contoh sebenar agak berlawanan juga dengan apa yang cuba diajar kepada mereka. Konflik seperti inilah amat merbahaya sekali kerana gejala yang negatif itulah yang paling pantas ditiru, sedangkan contoh teladan yang baik amat sukar dihayati.
Prestasi Akademik
Masalah prestasi akademik di kalangan pelajar Melayu terbahagi kepada dua jenis.
Pertama prestasi pelajar Melayu lelaki yang rata-rata lebih rendah daripada prestasi pelajar Melayu perempuan. Kedua, rata-rata prestasi pelajar Melayu lebih lemah dari prestasi pelajar bukan Melayu.
Kedua-dua masalah ini sudah menjadi masalah kebangsaan yang akan menjejaskan kedudukan dan kekuatan orang Melayu dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya. Sekiranya dibiarkan juga, ia akan
merosot dan boleh menghancurkan apa juga yang telah kita bina selama ini.
Masalah Keciciran Pelajar Melayu
Walau pun kita dapat berbangga dengan pencapaian anak Melayu dalam pelbagai bidang pada masa sekarang, berbanding dengan katakana dua dekad yang lampau, namun kita tidak patut lupa kepada pelajar yang telah gagal mendapat kelulusan yang memungkinkan mereka mendapat tempat di institusi pengajian tinggi atau pun institusi latihan kemahiran/vokesyenal. Pada masa ini kita dapati tidak kurang daripada 100,000 pelajar lepasan SPM yang tidak langsung berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau dalam bidang kemahiran supaya mereka boleh mendapat pekerjaan yang lebih baik dari apa yang boleh mereka dapati dengan kelulusan begitu rendah di peringkat SPM. Masalah yang serupa juga berlaku di peringkat PMR.
Pencapaian Orang Melayu Dalam Bidang Profesional (Iktisas)
Kita harus melihat masalah ini dengan serius kerana bilangan orang Melayu dalam pelbagai bidang professional (iktisas) masih jauh kurang dari bilangan orang keturunan lain. Tidakkah kita harus menambah
bilangan ini dengan menyediakan peluang latihan yang terperancang dan mempunyai matlamat yang jelas supaya kita ketahui bila dan bagaimana kita boleh memenuhi matlamat ini.
Pencapaian Orang Melayu Dalam Bidang Sains dan Teknologi
Adalah jelas bahawa bilangan pelajar Melayu di bangku sekolah, bahkan juga lepasan SPM yang cemerlang dalam bidang sains dan teknologi amat kurang sekali. Antara masalah yang telah pun dikenalpasti ialah terlalu kurangnya guru siswazah dalam bidang sains dan matematik di sekolah peringkat menengah. Guru siswazah yang ada lebih ramai yang berkelayakan sastera (kira-kira 70 – 80 peratus). Sudah tentulah guru siswazah berkelayakan sastera tidak mampu menghasilkan pelajar yang mahir dalam bidang sians dan matematik. Sedangkan kerajaan ingin menyediakan pelajar sains dan sastera dengan nisbah 60 : 40 antara sains : sastera. Sepatutnya kita menyediakan guru siswazah berkelayakan sains sebanyak 60 peratus dan yang berkelayakan sastera sebanyak 40 peratus. Sedangkan kerajaan telah memutuskan pada tahun lalu untuk menambahkan bilangan pusat matrikulasi sebanyak 5 buah lagi menjadikan jumlah 10 buah semuanya. Saya rasa, bukan mendirikan lebih banyak pusat matrikulasi itu boleh menyelesaikan kekurangan pelajar Melayu dalam bidang sains dan teknologi ini. Masalahnya bermula di sekolah menengah lagi, iaitu kerana kekurangan guru sains dan matematik.
Agama dan Pembangunan Ummah
Apa yang masih berlaku dalam pendidikan agama di sekolah, madrasah, surau, masjid dan lain-lain ialah melihat agama sebagai hanya satu ritual. Oleh itu apa yang diajar hanyalah segala yang berkaitan dengan ibadat khusus, fardhu ‘ain dan juga fekah yang berkaitan dengan hampir setiap aspek hidup. Satu lagi aspek agama yang harus diajar ialah bagaimana ianya telah mampu membangunkan masyarakat jahiliah yang begitu kuno sehingga menjadi suatu masyarakat yang begitu kuat dari segi ekonomi, budaya, politik, intelek dan lain-lain. Sudah tentu Islam mempunyai kekuatan yang amat anih dan yunik. Islam dalam pembangunan manusia harus lebih luas dan mampu mempengaruhi manusia dalam serba serbi.
SYOR BAGI MENANGANI MASALAH DI ATAS
Masalah Moral
Saya yakin bahawa apa yang diajar di dalam mata pelajaran agama Islam hari ini amat perlu diolah supaya mampu mempengaruhi manusia ke arah yang amat progresif dan positif, bukan menjadikan mereka seorang manusia yang hanya mampu mengerjakan fardhu ‘ain dengan baik tetapi tidak bermaya dalam aspek hidup yang lain. Adalah disyorkan supaya kedua-dua mata pelajaran ini dikaji semula dari segi kandungan, bilangan jam pengajaran, kaedah mengajar dan latihan pengajaran yang sempurna.
Adalah juga disyorkan supaya paduan antara ibu bapa dan guru di sekolah dieratkan lagi supaya ibu bapa juga memainkan peranan yang sama pentingnya dengan sekolah atau para guru.
Prestasi Akademik
Adalah disyorkan supaya suatu kejutan dilakukan untuk memberi semangat (motivasi) yang cukup kuat kepada anak-anak Melayu supaya bersemangat tinggi untuk belajar dan menjadi ilmuan. Mereka harus dilatih secara berterusan untuk terus tekun belajar sehingga menjadi orang yang cintakan ilmu dan ilmuan. Adalah juga penting untuk berusaha menghasilkan pelajar cemerlang secara serius dan bukan secara sengaja atau tidak sengaja. Jikalau perlu, kita harus mengadakan sekolah khas untuk pelajar cemerlang seperti ini untuk dijadikan contoh kepada yang lain.
Masalah Keciciran Pelajar Melayu
Adalah dirasakan perlu supaya kajian yang lebih mendalam tentang nasib pelajar Melayu dalam gulungan ini dilaksanakan bagi mengetahui nasib mereka sebenar. Dari maklumat yang didapati nanti, kita boleh
memahami lebih mendalam apa yang sepatutnya kita lakukan. Langkah-langkah harus diambil untuk menambahkan tempat belajar/latihan bagi pelajar yang tercicir ini. Sekiranya Kolej Komuniti dirasakan amat perlu diwujudkan, ia tidak sepatutnya diperlambat-lambatkan. Sekiranya ada IPTS yang mampu memberi latihan khusus kepada pelajar ini, IPTS tersebut seharusnya diberi bantuan untuk menjalankan
latihan ini.
Pencapaian Orang Melayu Dalam Bidang Profesional (Iktisas)
Adalah dirasakan amat perlu sekali bagi kita mengenalpasti bidang iktisas atau professional yang kita perlu meramaikan orang Melayu. Setelah mengenalpasti bidang ini, kita juga perlu menyediakan sasaran yang setepat mungkin dari segi bilangan yang patut kita hasilkan setiap tahun. Perancangan terperinci perlu dibuat dan kemudiannya diadakan peruntukan yang mencukupi untuk melatih byang diperlukan ini.
Perkara ini amat penting dan mungkin di serahkan kepada MARA untuk menyediakan perancangan dan pelaksanaannya. Usaha ini mesti diteruskan sehingga kita puas hati bahawa sebarang tambahan yang
diperlukan boleh dikeluarkan oleh pihak lain.
Pencapaian Orang Melayu Dalam Bidang Sains dan Teknologi
Adalah dirasakan amat perlu sekali bagi kerajaan mengkaji tentang keperluan guru siswazah dalam bidang sains dan matematik di sekolah menengah, khususnya di luar Bandar. Sekiranya perlu, kita harus
mengadakan tambahan pampasan dalam bentuk wang kepada guru ini supaya mereka beriltizam yang tinggi untuk berusaha dengan dedikasi bagi meningkatkan kemahiran pelajar Melayu dalam bidang sains dan matematik ini. Kedua, kita harus mengkasji sama ada menambahkan pusat matrikulasi menjadikan sepuluh semuanya harus diteruskan atau tidak. Jika tidak, lebih baik kita gunakan peruntukan itu untuk program yang lebih bermanfaat kepada orang Melayu.
Agama dan Pembangunan Ummah
Saya yakin bahawa apa yang diajar di dalam mata pelajaran agama Islam hari ini amat perlu diolah supaya mampu mempengaruhi manusia ke arah yang amat progresif dan positif, bukan menjadikan mereka seorang manusia yang hanya mampu mengerjakan fardhu ‘ain dengan baik tetapi tidak bermaya dalam aspek hidup yang lain.
PENUTUP
Nasib orang Melayu masih lagi belum begitu baik dan masih memrlukan perancangan yang rapi bagi memastikan mereka dapat meneruskan peranan dalam negara yang akan menjadi serba moden tidak lama lagi. Masalah meritokrasi, lambat laun akan kita hadapi secara berhadapan, dan bukan boleh kita berselindung di belakang kota atau dasar lain. Dari sekrang kita harus mengejutkan orang Melayu untuk bersedia menangani masalah ini pada masa hadapan. Peranan ini harus dimainkan oleh semua pihak dan bukan oleh kerajaan semata.
Wallahu ‘alam.
No comments:
Post a Comment