Tuesday, 3 December 2013

Sekolah Bestari : Konsep dan Harapan Perubahan terhadap Guru, Pelajar dan Pentadbir

Artikel 4

Disediakan oleh: Fauziah Hanim

Sekolah Bestari : Konsep dan Harapan Perubahan terhadap Guru, Pelajar 
dan Pentadbir 

Rohana Bt Baharim, Mohd Tahir Bin Ismail, Mariani Bt Mohd Nor

Sek. Men. Keb. Taman Pasir Putih

Sek. Men. Keb. Munsyi Abdullah

Universiti Tun Abdul Razak ( Pusat Wilayah Johor Bahru )




Pengenalan

Sejak mencapai kemerdekaan, negara kita telah mengalami perubahan yang pesat dalam sistem pendidikannya. Bagi meningkatkan mutu pendidikan, dasar - dasar pendidikan negara sentiasa dikaji dan kurikulum diperkemaskan bagi memastikan keberkesanan perlaksanaannya dalam menghadapi alaf baru yang timbul dalam bidang ekonomi, politik dan sosial selaras dengan perkembangan pesat yang sedang berlaku dalam negara. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, iaitu memerlukan pertumbuhan produktif yang dapat dicapai melalui kepakaran
teknologi, tenaga kerja yang mampu berfikir secara kritis, inovatif dan kreatif serta bersedia untuk turut serta dalam ekonomi globalisasi.

Di samping itu, falsafah pendidikan negara berhasrat untuk membentuk perkembangan potensi individu secara holistik dan bersepadu supaya dapat menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pemangkin ke arah pengubahsuaian ini kerajaan telah mewujudkan Sekolah Bestari yang lengkap dengan teknologi terkini bagi memperbaiki sistem pendidikan negara di samping menyediakan tenaga kerja mahir bagi menghadapi cabaran alaf baru

Sekolah Bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dari segi amalan pengajaran, pembelajaran, pengurusan sekolah untuk menyediakan pelajar bagi Zaman Maklumat. Sekolah Bestari berkembang dengan pembentukan staf yang profesional, sumber yang bertambah dan pentadbiran yang cekap. Ini membolehkan sekolah menyesuaikan diri dengan keadaan yang kian berubah.

Kurikulum Sekolah Bestari dirancang supaya bermakna, mempunyai tanggungjawab sosial, reflektif, holistik, global, terbuka berdasarkan matlamat. Ia menggalakkan pembelajaran holistik, membenarkan kanak - kanak maju mengikut tahap pencapaian masing - masing dan mengambilkira keupayaan,. minat dan keperluan pelajar yang berbeza-beza. Kanak - kanak dididik dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, disemai dengan nilai murni dan digalakkan meningkatkan kefasihan berbahasa. Kurikulum Sekolah Bestari dibentuk untuk :

a) Membantu pelajar mencapai perkembangan yang seimbang;
b) Menyepadukan pengetahuan, kemahiran, nilai dan penggunaan bahasa yang betul
c) Menyatakan secara eksplisit hasil pembelajaran yang dikehendaki bagi tahap keupayaan yang    
    berbeza;menawarkan pembelajaran multi disiplinari,bertema dan berterusan:
d) Memupuk pengetahuan,kemahiran dan sikap yang sesuai untuk berjaya dalam Zaman
    Maklumat.
e) Memupuk pengetahuan,kemahiran dan sikap yang sesuai untuk berjaya dalam Zaman Maklumat.

Konsep Sekolah Bestari

Sekolah bestari ialah sekolah yang dapat menyediakan pelbagai peluang untuk perkembangan pengajaran dan pembelajaran murid-murid. Sekolah bestari merupakan sekolah yang dilengkapi dengan segala keperluan termasuk saluran pengajaran seperti komputer dan kemudahan internet yang boleh digunakan oleh guru-guru untuk tujuan pengajaran. Kaedah ini bukan sahaja dapat melicinkan dan memaksimakan perkembangan pembelajaran dari segi kemahiran pemikiran yang tinggi, tetapi kepelbagaian kebijakasanaan dalam mata pelajaran yang dipelajari (Hamizer,1997).

Sekolah bestari tidak membawa makna sekolah untuk pelajar bestari atau pintar tetapi merupakan cara yang bestari bagi menjamin setiap pelajar cerdik atau lemah, kaya atau miskin mencapai potensi sepenuhnya mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang paling sesuai denganya.(Abdul Rashid & Siti Rahayah, 2001). Sekolah bestari dalam bahasa Inggeris ‘smart school’ dalam kata yang sebenarnya ialah suatu tempat di mana guru-guru dan murid-murid bekerja atau menjalankan aktiviti pembelajaran dengan melibatkan pemikiran yang menyeluruh.Ia melibatkan pelbagai teknik dan kaedah, mungkin juga melibatkan tugasan yang terbuka, perbincangan,kolaborasi rakan sejawat serta perbahasan dan sebagainya.(Perkins,1992).

Manakala menurut Fiske (1991), sekolah bestari adalah berorientasikan pembelajaran bukan pengajaran. Cara sekolah bestari beroperasi adalah berdasarkan hubungan bahawa guru sebagai jurulatih (coach), pelajar adalah pekerja. Penekanan beralih dari pengajaran kepada pembelajaran.Pendidikan dikatakan telah berlaku apabila berlaku proses pemikiran di kalangan pelajar. Menurut Dr. Nor Hayati (2003), sekolah bestari bukan merujuk kepada pelajar yang paling bijaksana tetapi ia merujuk kepada cara yang paling bijak bagi memastikan setiap anak diberi peluang yang sama bagi mencapai potensi diri. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menitikberatkan perkembangan diri dipilih menjadi asas model sekolah bestari.

Pada tahun 1996, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubal konsep Sekolah Bestari berpusatkan pengajaran dan pembelajaran berfikiran kreatif dan kritis. Teknologi sebagai pengupaya menjadi komponen penting dalam konsep sekolah bestari. Sekolah bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dari segi pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu pelajar menghadapi cabaran zaman maklumat. Sekolah bestari mewakili satu penciptaan semula persekitaran pembelajaran dan pengajaran, sistem pentadbiran sekolah, proses sekolah dan lain-lain. Teknologi baru juga digunakan bagi membolehkan transformasi sekolah biasa kepada sekolah bestari dapat dilakukan.


Prinsip-prinsip Pembestarian Sekolah

Terdapat beberapa prinsip untuk pembestarian sekolah (Mohammed Sani & Mohd Jasmy, 2003):

(i) Membina Kebolehan Pelajar Dalam ICT

    Kita perlu membina pelajar yang mampu menggunakan ICT. Dapatan-dapatan kajian
    menunjukkan bahawa:

    • Pelajar-pelajar mampu meningkatkan kemampuan mereka dalam ICT daripada sumber-sumber       luar termasuk di rumah. Pelajar-pelajar yang tidak mempunyai akses kepada ICT di rumah             akan ketinggalan
    • Bukan semua guru mampu mengajar secara bestari jika tidak dilatih secara berterusan. Oleh itu       ada pelajar yang mampu mengaplikasikan ilmu ICT sementara yang lainnya tidak
    • Pelajar-pelajar akan mendapat lebih manfaat melalui pengajaran bestari yang berstruktur. Guru-       guru perlu mampu menguruskan kelas-kelas bestari dengan bijak.
    • Tugas-tugas yang diberi kepada pelajar perlu dirancang agar pelajar mampu berfikir untuk               menyelesaikan masalah-masalah dalam aplikasi dan membuat keputusan serta menguasai  -             ketrampilan baru yang beraras tinggi.

(ii) Membina Kebolehan Guru-guru Dalam ICT

 Jika sekolah hendak mempertingkatkan kualiti ilmu dan ketrampilan pelajar dalam ICT, ianya perlu  dilaksanakan melalui kerja guru dan lain-lain staf yang menyokong tahap pembelajaran yang  hendak dicapai.

 Sektor Pendidikan di negara ini dijangka mempunyai jumlah tenaga pengajar berkemahiran yang  mencukupi apabila Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil inisiatif untuk melatih 100,000 lagi  guru dalam bidang teknologi maklumat (IT) (Khairul Anuar, 2002). Oleh itu, pengetua-pengetua  perlulah berfikiran terbuka untuk melepaskan guru-guru menghadiri kursus-kursus dalam  perkhidmatan untuk membolehkan mereka menguasai ilmu dan kemahiranICT.

(iii) Membina Kebolehan Kelas Dalan ICT

 Sesebuah kelas yang berkebolehan dalam ICT adalah merupakan satu kombinasi yang terdiri  daripada :-
 • Guru-guru yang bersedia untuk menggunakan teknologi sebagai model kepada pelajar-pelajar.
 • Pelajar-pelajar yang terpaksa menggunakan ICT yang mereka merasai bahawa penggunaan ICT      banyak memberi manfaat kepada diri masing-masing
 • Sumber yang mudah didapati sama ada di dalam kepas atau di sudut yang berdekatan.
   Guru-guru dikehendaki menghubung aktiviti-aktiviti yang dijalankan di bilik-bilik komputer              dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di bilik-bilik mata pelajaran.

(iv) Membina Kebolehan Guru-guru Mata Pelajaran Dalam ICT

Peranan Ketua-ketua Bidang adalah penting untuk membina sepasukan guru dalam penggunaan ICT di bilik-bilik darjah. Guru-guru seharusnya mampu menggunakan ICT dalam menganalisis data yang berkaitan dengan pencapaian pelajar-pelajar. Ketua-ketua Bidang perlu menyediakan rancangan persediaan mengajar yang meliputi penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran untuk disebarkan kepada guru-guru yang berkenaan di bawah pentadbiran masing-masing. Mereka juga perlu bekerjasama dengan kordinator-kordinator ICT untuk menghasilkan bahan-bahan ini.

(v) Membina Kebolehan Kordinator ICT

Seseorang kordinator ICT di sebuah sekolah seharusnya mempunyai pemahaman yang tinggi terhadap konsep asas ICT dan berketrampilan di aras yang tinggi. Mereka juga perlu bekerjasama dengan guru-guru lain yang mempunyai stail pengajaran yang pelbagai. Fokus terhadap pelbelajaran pelajar akan menggerakkan kordinasi dalam pengajaran, kurikulum dan sumber, dan akan merupakan aspek nasihat yang perlu diberikan kepada pihak pengetua tentang penggubalan polisi sumber.

Kordinator ICT perlu jelas tentang arahan-arahan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, tetapi dalam melaksanakannya di peringkat sekolah, kordinator ICT perlu menguasai segala prosedur mengikut kemampuan guru-guru untuk melaksanakannya dengan berkesan. Mereka juga boleh bertindak sebagai pengurus sumber ICT. Mereka akan menggunakan internet untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan di sekolah untuk mendapatkan idea-idea baru tentang perkembangan teknologi dan pengajaran menggunakan ICT dan juga untuk memenuhi keperluan perkembangan staf guru-guru.

(vi) Membina Tahap Kebolehan Pengurusan ICT

Kordinator-kordinator ICT semenangnya memerlukan sokongan dan kepimpinan pengetua dan guru-guru kanan. Pengetua-pengetua dan guru-guru kanan sekolah boleh menyokong kordinator-kordinator ICT di sekolah masing-masing secara langsung melalui
• Menentukan visi dan dorongan
• Menyemak semula polisi
• Perancang sumber dan penentuan peruntukan
• Perancangan program perkembangan staf
• Pemantauan dan penilaian
• Menjadi model dalam penggunaan ICT

Budaya pembelajaran

Objektif utama penubuhan sekolah bestari adalah untuk mengubah budaya pendidikan kearah budaya berfikir, kreatif dan menyelesaikan masalah ( Ngor, Hoi ). Perubahan budaya yang dimaksudkan ini memerlukan satu perubahan cara pemikiran dari satu tahap ke tahap yang lain. Kewujudan sekolah bestari ini akan menjadikan para guru menjadi lebih peka terhadap keperluan didalam memenuhi diri untuk menghadapi perubahan ini. Para guru selepas pembestarian sekolah diharap dapat menyediakan diri dengan lebih banyak kepakaran seperi celik IT, penguasaan ilmu yang mantap, penguasaan komunikasi yang lengkap, bersifat lebih kreatif dan inovatif serta mewujudkan penglibatan yang lebih kepada pelajar ( Ngor, Hoi ).

Budaya sekolah bestari bukan setakat menerapkan budaya berfikir malah bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi maklumat dalam segala bentuk tindakan untuk menjadikan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan (Ismail Zain). Sistem pendidikan sebelum bestari telah menekankan keseragaman didalam proses pembelajaran dimana pelajar menghadapai proses pembelajaran dengan tidak melakukan banyak penglibatan didalam kelas. Namun konsep sekolah bestari telah membuka era baru dengan menerapkan konsep demokrasi dimana pelajar lebih berhak
menentukan apakah yang dimahukan dalam proses pembelajaran dengan cara pemikiran yang lebih menyeluruh dan menekankan tanggungjawab pelajar terhadap apa yang dipelajarinya. Perubahan yang dimaksudkan ini juga secara langsung mengubah daripada pembelajaran secara ingatan kearah pembelajaran yang boleh menjadi pemangkin kearah berfikir, kreatif untuk memenuhi semua kebolehan dan gaya pembelajaran.

Pelajar sebagai pembelajar aktif di Sekolah Bestari. Pembelajaran yang berpusatkan budaya berfikir dengan memanfaatkan sumber ilmu oleh teknologi serta menggunakannya secara menyeluruh dan bersepadu dalam berbagai situasi dapat memupuk kemahiran penyelesaian masalah yang kreatif bagi menghadapi situasi baru. Pelajar lebih bertindak dengan berani dalam membuat keputusan dan bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut Penjaringan melalui internet membolehkan interaksi wujud di antara pelajar dan guru – guru dalam membantu proses pembelajaran.

Keperluan ICT didalam pembelajaran

Pelajar akan lebih cenderung untuk bermotivasi didalam proses pembelajaran sekiranya mereka berasa proses tersebut tidak membosankan. Motivasi ini dapat dicungkil dengan bantuan pengajaran dan pembelajaran yang kreatif, inovatif dan menarik daripada guru yang terlibat. Situasi ini sudah semestinya dapat diwujudkan sekiranya guru dapat menyampaikan pengajaran dengan bantuan bahan dan media hasil dari kepelbagaian perkembangan teknologi ( Ismail). Terdapatnya bantuan ICT didalam pengajaran membolehkan guru-guru menjadi lebih kreatif dan mempelbagaikan cara
penyampaian untuk menarik minat pelajar untuk mendalami dan mengambil bahagian didalam kelas.

Sejak tahun 2001, latihan demi latihan telah diberikan kepada guru dalam membimbing mereka tentang bagaimana untuk mengendalikan kelas dan latihan tentang bagaimana untuk menggunakan peralatan ICT (Utusan 2005). Perisian-perisian seperti BestariEd yang dihasilkan oleh Kementerian Pelajaran memberi kemudahan kepada guru untuk menyampaikan pengajaran kepada pelajar. Masa pendedahan murid-murid dan guru terhadap penggunaan komputer juga akan dipertingkatkan ( Utusan Malaysia, 1995) dari masa ke semasa.

Komitmen kerajaan untuk memperkasakan kemahiran ICT guru-guru bestari amat menggalakkan. Empat syarikat swasta iaitu Time Engineering, Microsoft Malaysia , Prestariang Technology Sdn. Bhd, dan Intel Malaysia telah terlibat didalam memberi latihan ICT kepada guru dan sama-sama berhasrat untuk memartabatkan profession perguruan. Datuk Hishammudin juga telah menyatakan untuk memberi peluang kepada guru inovatif ICT untuk meningkatkan pengetahuan dan rangkaian kerja mereka ( Utusan Malaysia, 2005).

Oleh yang demikian kepentingan ICT dan sekolah bestari seakan tidak dapat dipisahkan untuk melahirkan para guru yang dapat mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu kearah melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif ( Ismail ) . Teknologi juga dapat melahirkan guru yang mempunyai penguasaan terhadap ilmu dan kemahiran ICT dan seterusnya dapat membantu menjayakan proses pembelajaran. 

Kemahiran kendiri dan komunikasi guru 
Sistem pendidikan sebelum bestari mungkin dilihat tidak menekankan komunikasi 2 hala dimana pada kebanyakan masa guru yang berupaya mendominasi kelas ( Ngor, Hui). Sistem pendidikan bestari telah mengubah keperluan peranan guru sebagai fasilitator yang juga telah memperlihatkan pentingnya kewujudan komunikasi 2 hala diantara pelajar dan guru-guru. Seperti mana yang telah dinyatakan bahawa pelajar adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka dan seharusnya mereka bertanggunjawab memastikan penyampai guru adalah difahami sepenuhnya.

Tuntutan komunikasi 2 hala ini secara langsung telah menambahkan tanggunjawab guru untuk melengkapkan dan memperkayakan diri dengan kemahiran-kemahiran komunikasi yang efektif seperti kemahiran mendengar, dan kemahiran komunikasi antara perorangan. Guru juga harus melengkapkan diri dengan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritikal bagi menggalakkan kewujudan komunikasi yang baik didalam kelas. Kemahiran guru berfikir secara kritikal akan dapat 
menyediakan guru kearah menjadi seorang fasilitator yang efektif. Komunikasi yang berkesan secara langsung dapat memastikan proses penyampai maklumat dapat dijalankan dengan jayanya (Ngor, Hoi) seterusnya pelajar akan dapat memperolehi ilmu dan mengaplikasinya. 
Sistem sekolah bestari telah mengasah kebolehan para guru dalam teknologi dan komunikasi ICT maklumat tanpa mengira latar belakang ( Marzita 2005). Mengikut Vasantan salah seorang tokoh guru cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, guru yang hanya bergantung kepada buku teks, tidak akan dapat menghasilkan satu proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Oleh yang demikian guru bestari harus pandai menggunakan segala sumber yang ada bagi digunakan dalam menarik minat pelajar seterusnya menjadikan value added kepada konsep pembestarian sekolah ini. 
Sistem sekolah bestari juga dipercayai mampu melahirkan guru bestari yang mempunyai pengajaran dan pembelajaran yang dapat memotivasikan guru, tekun bekerja, yakin, dan celik IT ( Marzita, 2005) . Motivasi boleh disemai apabila kita melihat perlaksanaan sekolah bestari yang telah pun berjaya dibeberapa sekolah diseluruh dunia. Sebagai contoh hasil kajian yang telah dijalankan di United Kingdom telah menunjukkan kesungguhan para gurunya didalam menjayakan pembestarian 
sekolah mereka dengan bantuan dari pelbagai pihak termasuk pengetua dan rakan sekerja disamping hasil kemajuan teknologi ICT telah pun membuah kan hasil (Wan 2005). 
Guru bestari yang mempunyai kemahiran menjadi pemimpin yang konstruktivist (Ngor, Hoi) berfungsi sebagai pencetus idea manakala pelajar pula berperanan sebagai yang berkuasa terhadap proses pemikiran seterusnya (Marzita, 2005).

Perubahan pengurusan –proses integrasi peranan. 
Pengurusan dan pentadbiran sekolah bestari merupakan penggerak atau “otak” sekolah bestari adalah berbentuk elektronik. Pihak sekolah boleh mengaplikasikan Model Pengurusan Perubahan Bahagian Pendidikan iaitu KASABestari bagi merancang, melaksana dan menilai program perubahan. 
Objektif utama pengurusan Sekolah Bestari ialah untuk mengurus sumber dan proses dengan cekap dan berkesan bagi menyokong fungsi pengajaran dan pembelajarn. Disamping itu, pengurusan sekolah bestari sering dikaitkan dengan peranan pengetua didalam mengendalikan keperluan sekolah tersebut. Pengetua seharusnya terus berkuasa dalam menentukan budaya dan pengurusan sesebuah sekolah ( Ngor, Hoi). Sokongan pengetua didalam mengaplikasikan polisi-polisi yang membantu kearah membentuk sekolah yang berkonsepkan bestari lebih ketara sekiranya pengetua memahami 
keperluan sumbernya. Pengetua yang bestari dapat menilai keperluan latihan dan pembangunan yang diperlukan oleh guru untuk memantapkan diri mereka dan seterusnya mengubah polisi yang sepatutnya diubah. didalam sistem pendidikan bestari ini. Selain guru , keperluan staf-staf sokongan sekolah juga harus diambil kira bagi mempermudahan mereka mengadaptasi perkembangan teknologi dan keperluan kearah pembestarian sekolah.

Kesimpulan 
Kewujudan idea melahirkan sekolah bestari telah menjadi satu manifestasi bagaimana seharusnya proses pengajaran dan pembelajaran diantara guru dan pelajar dilaksanakan bagi melahirkan pelajar yang berdikari dan berfikiran kreatif dan berdaya maju. 
Pengurusan sekolah pula harus dilaksanakan dengan berlandaskan konsep berfikir berasaskan teknologi dengan menggabungkan sumber manusia dan sumber bukan manusia iaitu mesin. Perlaksanaan ini menerangkan tentang anjakan paradigma yang perlu dilakukan oleh pihak yang telibat seperti guru dan para kakitangan sekolah. Kelahiran sekolah bestari juga telah mendedahkan betapa pentingkan untuk guru mempunyai kemahiran berfikir secara kreatif disamping memahirkan diri didalam tugas yang dipertanggungjawabkan. 
Peranan pelajar bestari semakin berkembang dengan kebolehan mengakses maklumat dan melaksanakan pembelajaran kendiri ( self-learning). Perubahan yang berlaku keatas guru dan pelajar sahaja tidak akan dapat menjayakan perlaksanaan sekolah bestari yang diidam-idamkan jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak terutamanya pihak pengurusan sekolah.. 
Oleh yang demikian semua pihak didalam sistem pendidikan harus memainkan peranan dan berhadapan dengan sebarang perubahan yang menjurus kearah menjayakan hasrat kerajaan mewujudkan sekolah bestari didalam sistem pendidikan negara ini. 






No comments:

Post a Comment